26 JAN : Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua (TYT) Sarawak kelapan berkuat kuasa hari ini, lapor Bernama.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan TYT Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara, hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Wan Junaidi, 77 dilantik sebagai TYT Sarawak mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun sehingga 26 Januari 2028.
Pelantikan Wan Junaidi bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.
Terdahulu, Wan Junaidi dilapor melepaskan jawatan sebagai Speaker Dewan Negara yang disandangnya sejak Jun tahun lalu menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Tindakan itu mengundang spekulasi dengan ramai mengaitkan nama beliau sebagai calon TYT Sarawak yang baharu.