27 JAN : Kerajaan bukan bersifat antisubsidi dan antiorang miskin ketika merencana untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata langkah itu diambil bagi memastikan subsidi kerajaan dapat sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
Menurutnya, penyasaran semula subsidi itu perlu dilaksanakan bagi mengelak perbelanjaan rakyat yang lain dikekang dengan keadaan fiskal negara.
“Apabila jumlah tanggungan subsidi melangkaui RM80 bilion setahun dan kita tahu banyak ketirisan berlaku (orang kaya mendapat lebih banyak manfaat, bukan warganegara turut sama mendapat subsidi), ia perlu distrukturkan semula,” katanya dalam satu hantaran di X.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu ketika mengumumkan penyelarasan semula subsidi ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata ia bagi memastikan kerajaan tidak membazir wang rakyat dengan orang kaya dan warga asing menikmati subsidi.
Dalam pada itu, Rafizi yang berkata beliau terkejut jika pembangkang masjh menyerang pelaksanaan tersebut.
“Malah, saya faham kalau ada kebimbangan kenapa semua ini (penyasaran semula subsidi) yang ditumpukan kerajaan.
“Kan bagus kalau bagi wang kepada semua dan gunakan duit cukai rakyat untuk tetapkan harga barang serendah mungkin? Kita sebenarnya dah terlepas kapal,” katanya.
Menyentuh soal polemik turunkan harga RON95 antara 2007 ke 2015, beliau mengaskan situasinya kini berbeza.
Jelasnya, ketika itu tanggungan subsidi negara masih rendah berbanding pendapatan keseluruhan kerajaan.
“Jadi isunya adakah lebih baik sejumlah beberapa bilion digunakan untuk rakyat terbanyak dan bukannya untuk projek-projek mega.
“Bahkan antara tahun 2014 hingga 2018, ada ketikanya rakyat membayar harga RON95 yang lebih tinggi dari pengiraan harga pasaran. Maknanya, ada elemen cukai yang dikutip secara senyap-senyap. Keadaannya juga cukup berbeza sekarang,” katanya..