Manfaatkan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025
27 JAN : Semua jentera kerajaan perlu memanfaatkan sebaik mungkin Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebagai landasan meningkatkan profil dan nama negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mahu penekanan lebih diberi bagi merakyatkan ASEAN dan merealisasikan komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat.
Menurutnya ia penting untuk memacu pembangunan dan pertumbuhan serantau secara kolektif dalam kerangka ASEAN.
Perkara itu dibangkitkannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Peluncuran Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Usai solat Jumaat, saya pulang ke pejabat bagi mempengerusikan Mesyuarat Khas Peluncuran Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
“Mesyuarat itu disertai oleh menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha, ketua perkhidmatan kerajaan dan ketua agensi yang berkaitan.
“Sesi itu membincangkan persediaan dari sudut substantif dan logistik bagi Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang akan bermula 1 Januari 2025.
“Saya singgung akan peri pentingnya memastikan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang lancar, berjaya dan bermakna dengan persediaan rapi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat..
Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.