30 JAN : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendedahkan cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu bagi mengelak ketidakstabilan politik berlarutan hingga menjejaskan negara.
Baginda bertitah, idea pembentukan Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya bukan perkara baharu kerana pernah diusulkan baginda ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri dan mendapat sokongan majoriti yang tipis selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Al-Sultan Abdullah bertitah, selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada parti mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, baginda sekali lagi mengusulkan supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.
Susulan itu, baginda memanggil ketua pemimpin politik bagi memaklumkan hasrat itu untuk mengelak berlaku krisis pentadbiran seperti sebelumnya.
Bagaimanapun, titah baginda, cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan itu ditolak dengan tegas oleh Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Apabila tiada parti menang besar (Pada PRU15), saya tawarkan semua parti yang ada supaya membentuk Kerajaan Perpaduan, tetapi Muhyiddin dan Abdul Hadi tegas menolak cadangan itu.
“Jadi, apa pilihan yang saya ada (Then, what choice do I have?). Dia tolak bulat-bulat cadangan bentuk Kerajaan Perpaduan.
“Pada masa sama, saya juga maklumkan cadangan itu (mewujudkan Kerajaan Perpaduan) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan). Apa yang saya mahu ketika itu ialah semua parti membentuk kerajaan yang kukuh, stabil dan berjaya,” titah baginda, lapor BH.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda sudah melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat yang akhirnya menyerahkan kepada kebijaksanaan pemimpin untuk mentadbir dengan baik.
Titah baginda, pembentukan Kerajaan Perpaduan dianggap tindakan paling sesuai bagi mengatasi kekalutan politik, sekali gus dapat mewujudkan suasana harmoni dalam negara.
Baginda bertitah, langkah itu juga seiring dengan harapan supaya kestabilan kembali di negara ini yang seharusnya bermula di Parlimen.
“Kenapa perlu bergaduh kerana hasrat kita hanya satu, untuk majukan negara, kita perlu tingkatkan nama baik Malaysia sama ada di dalam atau di peringkat antarabangsa,” titah baginda.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, semua pemimpin perlu kurang berpolitik, sebaliknya menumpu kepada usaha memajukan negara demi kesejahteraan rakyat.
Baginda bertitah, semua pihak perlu bergerak ke depan dan kerajaan sedia ada mesti terus mentadbir urusan negara tanpa gangguan.
Titah baginda, kecelaruan politik yang menggusarkan rakyat perlu dihentikan dan apa saja langkah menukar kerajaan, termasuk Langkah Dubai tidak seharusnya berlaku kerana ia menjejaskan negara dan rakyat.
“Kita jangan buat spekulasi, semua perlu bergerak ke depan dan kerajaan sedia ada mesti terus mentadbir urusan negara.
“Saya harap kecelaruan yang menimpa rakyat akibat tindakan pemimpin politik yang sebegini (mahu menumbangkan kerajaan) perlu dihentikan, mereka sepatutnya mengharmonikan rakyat,” katanya ketika mengulas tindakan pemimpin tertentu yang didakwa menggerakkan Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.