30 JAN : Pertukaran kerajaan hanya akan merugikan dan menjejaskan kestabilan negara.
Demikian titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sesi bersama media di Istana Negara sebelum menamatkan pemerintahan selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini.
Titahnya, sepanjang tempoh pemerintahan baginda berdepan cabaran apabila berdepan sehingga empat perdana menteri.
Baginda bertitah, perkembangan politik semasa yang menunjukkan wujud tindakan pihak tertentu mahu menumbangkan kerajaan amat menggusarkan.
Titah baginda, urusan mentadbir kerajaan bukan sesuatu yang mudah dan perubahan yang mahu dilakukan pihak tertentu sebelum tempoh pemerintahan ini berakhir tidak akan membawa negara ke mana-mana.
“Saya bukan mahu menidakkan mana-mana parti politik tetapi pengalaman bertukar kerajaan itu satu proses yang cukup merugikan negara.
“Sepanjang lima tahun menjadi Agong, saya ada empat Perdana Menteri dan ia cabaran terbesar yang perlu saya hadapi. Saya berusaha mententeramkan negara dan kekalkan keharmonian serta kestabilan hingga kini.
“Mengurus kerajaan ini bukan perkara mudah, pertukaran tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ini akan rugikan rakyat dan kewangan negara.
“Kita sudah ada proses demokrasi yang tertulis pada setiap lima tahun rakyat boleh memilih kerajaan melalui pilihan raya. Jadi biarlah sekurang-kurangnya kerajaan yang ada ini memerintah mengikut tempoh ditetapkan, bukan sekadar satu atau dua tahun dan kemudian menukar dengan sewenang-wenangnya,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah kemelut politik negara hingga membabitkan pertukaran empat perdana menteri membuktikan perubahan yang dimahukan rakyat dengan bertukar perdana menteri dalam tempoh singkat tidak memberikan kebaikan kepada negara.
“Jika kita tukar perdana menteri setiap tahun, ada Kabinet baharu, ia tak menjanjikan apa-apa. Ini pengalaman saya. Jadi, rakyat perlu bagi tempoh sewajarnya untuk menilai keberkesanan pentadbiran kerajaan, bukannya dalam tempoh setahun dua dan kemudian mempersoalkan prestasi mereka.
“Apa yang kita boleh buat dalam tempoh setahun? Jika tukar kerajaan, banyak perubahan akan berlaku membabitkan dasar dan corak pentadbiran yang akan melambatkan proses pengurusan. Malaysia pula perlu lebih kompetitif supaya tak ketinggalan.
“Pelabur asing akan melihat perkara ini dan ketidaktentuan kestabilan negara boleh menyebabkan mereka takut melabur di Malaysia sedangkan kita perlukan mereka ini untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah menitahkan agar rakyat memahami kepentingan menjaga kestabilan negara untuk jangka panjang dalam usaha memacu perkembangan ekonomi ke peringkat lebih tinggi.
“Selain bergantung kepada kerajaan, kita memerlukan pelabur yang membawa pelaburan besar, tetapi mereka hanya akan bertapak di negara ini jika suasananya kondusif.
“Jika tiada pelaburan asing, kita akan kerugian banyak perkara termasuk kutipan cukai,” katanya.
Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Agong bermula 31 Januari 2019.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan akan bersemayam selama lima tahun, berkuat kuasa esok.
Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, juga selama lima tahun mulai tarikh sama.