1 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan pemansuhan pencen bagi ahli politik akan dibincang di peringkat Kabinet terlebih dahulu sebelum dibawa ke Parlimen.
Beliau berkata, sebagai satu tanggungjawab moral, perkara itu perlu dibentang dan dijelaskan sepenuhnya berikutan sukar untuk dirasional sekiranya pemansuhan pencen dikecualikan bagi ‘orang politik.’
“Ada orang tanya bagaimana pula orang politik, sistem berbeza tapi saya fikir munasabah kalau kita kaji, kaji sekali, kalau penjawat awam tak ada, orang politikpun tak ada tapi ia tertakluk kepada kelulusan di Parlimen. Kalau jadi dan Kabinet bersetuju, saya (akan) bentangkan (di Parlimen),
“Kalau ada kebetulan ahli Parlimen nak tolak, itu dia tolak la, saya bentangkan sebab dari segi tanggungjawab moral, bagaimana boleh kita bentangkan kepada awam dengan alasan kukuh dari segi ekonomi tetapi diberikan pengecualian kepada orang politik, sukar saya mahu rasionalkan.
“Saya belum bentang kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk perbincangan awal tetapi kalau mereka mahu elaun khas lain sebagaimana penjawat awam, kita boleh bincang tetapi dari segi konsistensi dalam memperkenal dasar, itu kita perlu bersama,” katanya, lapor Bernama.
Perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan (Ketua-Ketua Kerajaan Negeri dan Persekutuan) di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, di sini pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar juga berkata cadangan memansuhkan sistem pencen penjawat awam disuarakan ketika beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an namun ia tidak dilaksana.
Beliau berkat isu itu perlu dijelaskan sepenuhnya kepada orang awam termasuk perkara yang membabitkan implikasi ekonomi sekali gus memastikan penjawat awam tidak merasakan mereka kerugian dengan sistem persaraan baharu.
“… tapi saya nak tanya, kalau kita teruskan bagaimana kesannya kepada ekonomi negara, kita tak mampu teruskan, negara kaya semua dah hentikan skim pencen ini, tidak mampu bertahan.
“Ada yang anggap bagaimana orang yang dapat pencen sekarang? Itu tidak boleh disentuh, ia akan diteruskan, bagaimana penjawat awam baharu? Elaunnya tetap sama, tidak terkesan, jadi biar JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) cerakin dan buat pengumuman berikutnya,” kata beliau.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim