1 FEB : Kenyataan rasmi berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka dikeluarkan minggu ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
“Itu nanti kita tunggu kenyataan (Lembaga Pengampunan)… insya-ALLAH minggu ini kita harapkan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau yang juga antara anggota Lembaga Pengampunan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2024, hari ini sebagai mengulas status Najib berhubung isu berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semalam dilaporkan berkata isu pengampunan Najib turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu namun mengingatkan pengamal media tempatan dan luar negara untuk menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan sebelum membuat laporan mengenainya.
Media antarabangsa Channel NewsAsia (CNA) dalam laporannya mendakwa Najib telah diberikan pengurangan hukuman daripada 12 kepada enam tahun.
Media itu yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan melaporkan pengurangan hukuman penjara terhadap Najib atas kesalahan rasuah dibuat Lembaga Pengampunan itu dalam mesyuarat pada Isnin lepas.