3 FEB : Semua tambah nilai Touch n Go eWallet (TNG eWallet) menggunakan kad kredit akan dikenakan caj 1 peratus mulai 23 Februari ini.
Namun TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) memaklumkan, bagi tambah nilai melalui kad debit atau DuitNow, tiada sebarang caj dikenakan.
Ketua Pegawai Operasi TNGD, Alan Ni berkata perkara itu bagi mengelak pengeluaran wang melampau menggunakan kad kredit ke akaun bank.
Katanya, langkah itu juga bagi mengurangkan kos besar kad kredit yang ditanggung TNGD selama ini.
Dalam pada itu, beliau menyarankan pengguna TNG eWallet agar menggunakan DuitNow bagi tambah nilai yang hanya menggunakan proses pemindahan dana antara bank.
“Sebagai institusi kewangan terbesar yang menguruskan lebih 20 juta pengguna yang disahkan e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), kita mesti mencari keseimbangan antara kemudahan, keselamatan dan kemampanan kos jangka panjang syarikat.
“Untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, kami masih membenarkan kad kredit sebagai satu daripada saluran tambah nilai tetapi kami juga menggesa pengguna untuk menambah nilai eWallet mereka melalui DuitNow atau kad debit, yang kedua-duanya adalah percuma.
“Apabila membuka akaun eWallet, pengguna diberikan nombor akaun DuitNow sama seperti akaun bank. Anda boleh menemui nombor akaun DuitNow ini pada bahagian profil eWallet,” katanya, lapor BH.
Pada Oktober tahun lalu, TNGD pernah menurunkan had tambah nilai kad kredit percuma kepada RM1,000 sebulan berbanding RM5,000 sebelumnya.
Dengan langkah itu, TNGD menjelaskan ia sebagai cara mengekang pengeluaran kad kredit ke akaun bank.