5 FEB : Semua pihak diminta menghentikan sebarang perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung pengampunan diberi Lembaga Pengampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia susulan keputusan Lembaga Pengampunan itu dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, keputusan Yang di-Pertuan Agong itu muktamad dan dibuat atas pertimbangan baginda.
“Kita faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan.
“Yang di-Pertuan Agong memutuskan keputusannya itu muktamad atas pertimbangan yang besar, bukan undang-undang. Kerana itu, proses kehakiman dan pertimbangan utama adalah soal ihsan. Jadi, sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang tuanku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan memaklumkan hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun selain denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Najib, 70 yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim