5 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kontrak perolehan bagi membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan kendalian Spanco Sdn Bhd (Spanco) merugikan negara.
Beliau menegaskan, kenyataan itu bukan suatu perkara baharu kerana ia pernah disuarakan beliau sewaktu menjadi Menteri Kewangan sebelum ini.
“Saya tidak tahu di mana salahnya, tetapi saya tahu peraturan itu tidak betul, saya tahu ia merugikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.
Malah katanya, kontrak itu juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan.
“Saya tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam tetapi kita lesu, tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak,” kata Menteri Kewangan itu
Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebuah syarikat yang memperoleh kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan dengan beberapa saksi penting sudah dirakam keterangan.
Ini termasuk agensi kerajaan serta individu dari syarikat terbabit yang sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.
SPRM turut menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan berusia lingkungan 70-an itu serta merampas dokumen berkaitan kewangan bagi membantu siasatan selain membekukan akaun bank yang bernilai jutaan ringgit.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim