5 FEB : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meneruskan i-Lindung Fasa 2 di bawah Pelan Perlindungan Ahli yang membenarkan pencarum membeli produk insurans serta takaful.
Kata dana persaraan itu, pihaknya memperkenalkan penambahbaikan yang memfokus kepada pengurusan polisi dan sijil yang ditujukan untuk perlindungan lanjutan melebihi satu tahun.
Dana dalam akaun 2 boleh digunakan untuk membeli insurans dan takaful yang terdiri daripada perlindungan nyawa dan penyakit kritikal untuk ahli keluarga terdekat.
KWSP dalam satu kenyataan berkata, sejak dilancarkan pada Julai 2022 hingga Disember 2023, lebih 102,301 ahli membeli sejumlah 118,166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung yang meliputi insurans nyawa dan insurans penyakit kritikal pada premium yang berpatutan daripada Akaun 2.
“Penambahbaikan ini merupakan satu kemajuan penting dalam evolusi platform i-Lindung, yang menggabungkan produk perlindungan jangka panjang untuk ahli KWSP dan keluarga tersayang.
“Platform yang dinaik taraf ini menawarkan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan pengurusan polisi yang diperkemas dan pembayaran berulang yang mudah untuk perlindungan jangka panjang,” kata KWSP dalam kenyataan itu.
Pencarum yang ingin membeli produk insurans dan menyertai produk takaful ditawarkan syarikat insurans dan pengendali takaful diluluskan KWSP untuk diri sendiri atau ahli keluarga terdekat boleh melakukannya melalui platform i-Lindung yang terkandung dalam aplikasi KWSP i-Akaun.
Ahli boleh merujuk laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 untuk maklumat lanjut mengenai i-Lindung.