6 FEB : Tiada sebarang aduan atau laporan dari mana-mana ketua bahagian yang menuntut UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak timbul isu tersebut dalam kalangan pemimpin parti susulan ia keputusan ketua negara.
“Tak ada satu pun yang saya terima secara bertulis…WhatsApp atau secara terbuka. Jadi tidak timbul isu itu.
“Dalam perjumpaan itu, saya yang mempengerusikan pertemuan dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Presiden bercakap dan tidak ada seorang pun yang mempertikaikan atau menuntut untuk kita keluar sebab pelik juga nak keluar (dari Kerajaan Perpaduan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sesi Sembang Santai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama media di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan memaklumkan hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun selain denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Najib, 70 yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata UMNO adalah sebuah parti yang mempertahankan institusi raja Melayu dan juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya mewujudkan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.
“Ini bukan kuasa mana-mana parti. Ini kuasa Yang di-Pertuan Agong, nak marah siapa? Sebab UMNO adalah parti yang mempertahankan institusi raja Melayu.
“Takkan tiba-tiba dalam hal ini kita mengkhianatinya pula atau kita mempertikaikannya,” katanya.
Namun beliau tidak menolak ada sesetengah pihak dalam parti itu yang tidak berpuas hati kerana Najib tidak mendapat pengampunan penuh.
“Mestilah ada (yang tak puas hati), sebab itu kita adakan pertemuan…kita sebutkan ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan itu tidak menghentikan usaha kita.
“Kerana ruang itu masih ada seperti yang perdana menteri sebut sendiri, kalau masih tak puas hati, kita masih ada ruang untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu,” katanya.