6 FEB : Raja Charles III disahkan menghidap kanser, 18 bulan selepas menaiki takhta.
Istana Buckingham semalam mengumumkan Charles, 75 akan menangguhkan tugas membabitkan penampilan awam ketika menjalani rawatan.
Raja Charles ditabalkan sebagai raja 6 Mei 2023 selepas kemangkatan Ratu Elizabeth, pada 8 September 2022.
Beberapa pengulas sebelum ini, menjelaskan baginda yang tidak malu untuk menyuarakan pandangan tegas mengenai pelbagai isu sebagai pewaris akan membawa perubahan radikal serta merombak gaya tegar dan berdedikasi mendiang ibunya.
Sebaliknya, baginda menyesuaikan diri dengan peranan baharu dengan rutin sibuk secara tenang, menjadikan pengumuman masalah kesihatannya semakin mengejutkan.
Laporan Reuters menyebut Raja Charles sentiasa kelihatan sihat selain mengikuti rutin senaman harian untuk kekal cergas dan mengelak makan tengah hari.
Tiada petanda beliau sudah menerima berita mengenai diagnosis kansernya apabila beliau muncul di hadapan orang ramai untuk menghadiri ibadah di gereja bersama isterinya, Ratu Camilla, Ahad lalu.
Tinjauan pendapat mendapati, lebih ramai mempunyai pandangan positif terhadap baginda, walaupun Charles tidak popular seperti mendiang ibunya.
Ketika ketua negara di seluruh dunia menghantar mesej mendoakan kesejahteraan baginda, sebahagian rakyat Britain menyatakan mereka terkesan dengan berita terbabit.