7 FEB : Jemaah menteri tidak berbincang soal keperluan memberi penjelasan berhubung isu pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata secara lazimnya Lembaga Pengampunan sebelum ini tidak pernah memberi justifikasi mengenai keputusan mereka.
“Setahu saya, jemaah menteri tidak ada membincangkan keperluan itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai gesaan beberapa pihak agar Lembaga Pengampunan mendedahkan justifikasi keputusan tersebut.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan memaklumkan hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun selain denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.
Najib, 70 yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.