7 FEB : Kerajaan bersetuju pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di luar negara boleh menangguhkan kepulangan ke Malaysia bagi tujuan bekerja di luar negara.
“Keputusan ini dibuat untuk memberi peluang kepada pelajar tajaan kerajaan menimba pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara sebelum balik berkhidmat di dalam negara,” menurut JPA dalam kenyataan pada Rabu, lapor Bernama.
JPA memaklumkan penangguhan itu tertakluk kepada beberapa ketetapan antaranya kebenaran bekerja berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh pelajar tahun akhir di peringkat ijazah pertama dan tidak diberikan secara automatik.
Selain itu, tempoh penangguhan yang dibenarkan untuk bekerja di luar negara adalah tidak melebihi tiga tahun dan pelajar tajaan pinjaman dikehendaki membayar balik nilai pinjaman secara ansuran bulanan dalam tempoh tersebut.
Menurut JPA tempoh bekerja di luar negara akan dikira sebagai Tempoh Ikatan Berkhidmat yang ditetapkan di dalam perjanjian.
Bagi pelajar tajaan pinjaman, JPA memaklumkan pelarasan bayaran balik nilai pinjaman adalah berdasarkan sektor pekerjaan dalam negara dan hanya dibenarkan sekali sahaja setelah pelajar pulang ke Malaysia, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
Permohonan boleh dibuat mulai 15 Februari 2024 menerusi laman sesawang https://myself.jpa.gov.my.