7 FEB : Pemuda UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah bantuan untuk sekolah agama rakyat dan sekolah persendirian lain di negara ini.
Desakan itu selepas Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan mengumumkan bantuan tambahan kepada sekolah persendirian Cina.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata sekolah agama juga sewajarnya menerima bantuan tambahan.
“RM300,000 untuk setiap sekolah persendiran Cina. RM20,000 geran bantuan sekolah agama.
“Saya harap atas prinsip keadilan, YAB PMX boleh menambah lagi peruntukan kepada sekolah agama rakyat dan juga sekolah persendirian yang lain juga.
“Jika Loke boleh mengumumkan peningkatan bantuan tambahan kepada sekolah persendirian Cina dari RM250,000 kepada RM300,000 pada tahun ini, kenapa tidak pada sekolah yang lain juga. Mohon untuk dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Pada 5 Februari lalu, Loke mengumumkan 63 sekolah persendirian Cina akan menerima peruntukan RM18.9 juta.
Menurut Loke, 63 sekolah persendirian Cina itu masing-masing bakal menerima RM300,000.
Ini merupakan peningkatan dari peruntukan khas RM15.75 juta – dengan sekolah masing-masing menerima RM250,000 – yang diumumkan tahun lepas.