8 FEB : Kerajaan akan memperhalusi cadangan memperkasakan belia dengan pengetahuan tepat bagi mencegah HIV/AIDS.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia susulan peratusan laporan kes HIV/AIDS melibatkan golongan belia di Malaysia ketika ini yang tertinggi.
“Maka terdapat keperluan untuk memperluas dan memperhebat program pencegahan, kawalan dan rawatan berkaitan HIV/AIDS memandangkan taburan kes HIV/AIDS mengikut umur menunjukkan 74 peratus kes yang dilaporkan adalah membabitkan golongan muda berumur antara 20 dan 29 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kenyataan itu dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2024 di Putrajaya, hari ini.
Katanya, antara cadangan lain yang dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan ialah mewujudkan rumah perlindungan bagi mengendalikan jagaan susul bagi Orang Dengan HIV/AIDS (ODHA) yang tersisih daripada keluarga dan tiada sokongan serta meningkatkan keterjaminan pekerjaan jugs pendidikan untuk ODHA.