8 FEB : Arab Saudi bertegas tidak akan menjalin sebarang hubungan diplomatik dengan Israel selagi Palestin tidak diiktiraf, lapor AFP.
Riyadh memaklumkan kepada sekutu kuat Tel Aviv, Amerika Syarikat (AS), negara itu menggesa Israel segera menghentikan serangan dan melakukan gencatan senjata.
“Kami menzahirkan pendirian tegas ini kepada Washington bahawa tiada hubungan diplomatik akan dijalinkan bersama Israel jika Palestin tidak memperoleh kemerdekaan berdasarkan garisan sempadan 1967 dan Baitulmaqdis diisytiharkan sebagai ibu kota mereka.
“Pencerobohan ganas rejim Zionis ke atas Genting Gaza perlu dihentikan segera dan pasukan tentera mereka perlu berundur dari wilayah berkenaan,” kata Kementerian Luarnya, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Sebelum ini Arab Saudi didakwa mahu menjalin hubungan dengan Israel sebelum tercetusnya perang 7 Oktober lalu.
Kenyataan negara itu dikeluarkan selepas jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby mendakwa kononnya rundingan menormalkan hubungan Saudi-Israel sedang berjalan dan Washington menerima tindak balas positif daripada kedua-dua belah pihak.
AS meneruskan wayang mereka di Asia Barat melalui kunjungan Setiausaha Negara, Antony Blinken ke rantau itu bagi menggesa pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.
Pada Selasa, Blinken memberitahu Putera Mahkota, Mohammed Salman (MBS) mengulangi kesediaan Riyadh untuk menormalkan hubungan dengan rejim itu ketika pertemuan di Riyadh.
Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden juga beberapa kali mendesak Saudi supaya mengiktiraf Israel.