9 FEB : Kerajaan akan melaksanakan pemantauan secara berkala terhadap majikan yang mengambil pelajar sekolah sebagai pekerja bagi memastikan syarat dan waktu bekerja ditetapkan dipatuhi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan termasuk dalam beberapa cadangan penambahbaikan bagi strategi penyelesaian isu keciciran murid sekolah menengah.
Menurutnya, cadangan lain dikemukakan adalah menyebarluaskan maklumat tentang kepentingan mendapatkan pendidikan sehingga mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada kanak-kanak dan murid yang tidak bersekolah melalui media cetak, media elektronik dan media sosial.
“Pada masa sama, menyediakan pusat latihan vokasional dan memberi sokongan perkhidmatan kaunseling kepada ibu bapa atau penjaga bagi memastikan kanak-kanak dalam jagaan meneruskan persekolahan.
“Selain itu, kerajaan bercadang untuk memberikan sokongan psikososial kepada kanak-kanak yang terlibat dengan situasi perceraian ibu bapa agar mereka meneruskan persekolahan dengan baik dan menyediakan ruang pembelajaran di kawasan tempat tinggal,” katanya dalam satu kenyataan usai Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1 Tahun 2024.
Katanya lagi, strategi lain yang turut dibangkitkan adalah dengan membantu keluarga kesempitan kewangan yang menyebabkan murid perlu bekerja.