9 FEB : Sebanyak 36 bunga api jenis ‘Happy Boom’ dan Pop-Pop dibenarkan dijual sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan dalam satu kenyataan, sembilan bunga api juga jenis ‘Happy Boom’ disenaraikan dalam kategori bersyarat dan tidak boleh dijual secara umum kecuali daripada ejen berlesen.
Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Polis Alzafny Ahmad berkata jualan bunga api tersebut hanya dibenarkan pada musim perayaan.
“Bunga api ini dibenarkan hanya pada musim perayaan Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Aidiladha, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Keamatan.
“Sebanyak 45 jenis bunga api diluluskan untuk dijual sejak tahun 2018 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Senarai 36 bunga api Happy Boom yang dibenarkan untuk dijual adalah jenis Pop-Pop, Glow of Sunset, Sunset Bar, Glories, Flower Silver Cracking Rain, Birthday Candle, Dush 20, 30 (Roman Candle), 10 shoots, 8 shoots (Roman Candle), Sun Sparkles, Colour Run Sparkle (18 inci besi), Fountain, Ice Cream 10 dan 15 inci, 13 inci Conic, Mini Ice Cream, Peacock Fountain, Happinest Fointain, Ground Boom Flower, Camelia Flower dan Firework.
Pili Cracker, Pili Cracker 3 minit, Moon (roket), Thunder Clap (roket) dan Top Gun (UFO), Top Gun, Sky Dragon, 14 inci besi, Bee, Mancis, Cili Padi, Party Pooper, Banana Kecil, Banana Hujan.
Sembilan bunga api Happy Boom yang hanya boleh dijual oleh ejen berlesen adalah Happy Boom Red Cracker (8 inci), Red Cracker (cake), Celebration Red Fire Cracker, Assorted Celebration Cake Repeater (1 inci atau 49 shots), Assorted Celebration Cake Repeater (1.5 inci 138 shots), Shoot Cake 1 (16, 25 36) dan tikus 50.
Menurut Alzafny, syarat yang perlu dipatuhi bagi kedua-dua kategori adalah mempunyai tempat simpan selamat yang disahkan Bahagian Persenjataan PDRM serta mempunyai lesen yang tidak boleh dipindah milik.
“Hanya pemilik lesen sahaja yang dibenarkan menjual bunga api selain satu lesen hanya dikeluarkan kepada satu pemohon di satu lokasi.
“Bunga api tidak dibenarkan dijual kepada pembeli di bawah umur 18 tahun serta dilarang dijual secara dalam talian (online),” katanya.
Polis turut memberi peringatan kepada masyarakat untuk tidak bermain bunga api sehingga melebihi jam 12 malam yang boleh menyebabkan kacau ganggu atau bahaya kepada umum.
Sekiranya ingkar tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7, Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.