9 FEB : MIDF Research menjangkakan perdagangan runcit Malaysia meningkat 7.5 peratus pada tahun ini disokong pasaran kerja yang stabil dan aktiviti pelancongan yang lebih baik.
Katanya, jualan perdagangan pengedaran Malaysia meningkat sebanyak 7.7 peratus, tahun lalu.
Menurut MIDF Research lagi, kesemua komponen terutama jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit bertambah baik sebanyak 12.3 peratus dan 9.0 peratus manakala perdagangan borong meningkat 5.2 peratus.
Dalam pada itu, permintaan pengguna kekal teguh dan berdaya tahan seperti yang ditunjukkan dalam prestasi jualan perdagangan pengedaran, katanya.
“Melangkah ke hadapan, momentum permintaan dalam negeri yang meningkat dijangka akan diteruskan pada 2024 disokong oleh pasaran buruh yang berdaya tahan, pertumbuhan pendapatan yang stabil, peningkatan dalam aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong serta akomodatif.
“Walau bagaimanapun, tekanan kenaikan inflasi boleh menjejaskan permintaan pengguna bergantung kepada kesan potensi pendekatan subsidi bersasar dan turun naik dalam harga komoditi global,” kata MIDF Research dalam satu nota penyelidikan.
MIDF Research berkata jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit direkodkan paling tinggi, tahun lalu.
Kenderaan bermotor menyaksikan lonjakan ke paras tertinggi baharu sebanyak 12.3 peratus selepas pandemik pada 2023.
Namun bahagian perdagangan borong menurun kepada 44.6 peratus manakala perdagangan runcit memperoleh kemuncak baharu pada 43.1 peratus.
“Kami berpendapat struktur pasaran buruh adalah antara faktor menyumbang pembelian kenderaan bermotor yang lebih tinggi.
“Pekerja kepada jumlah guna tenaga purata pada 75.5 peratus setakat 11 bulan pertama 2023 berbanding di bawah 75 peratus dalam tahap pra-pandemik.
“Di samping itu, nisbah penerima gaji kepada pekerjaan berada pada titik puncak baharu 64.6 peratus pada 2022 yang kami berpendapat ia akan menyediakan permintaan pengguna yang kukuh, terutamanya untuk item komitmen jangka panjang,” katanya.
Selain itu, penumpang antarabangsa turut menyumbang 47.0 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang pada 2023.
Kata MIDF Research, pada 2019 sebanyak 50.7 peratus trafik penumpang lapangan terbang Malaysia disumbang oleh perjalanan antarabangsa, 25.0 peratus oleh ASEAN dan 25.7 peratus oleh destinasi bukan ASEAN.
Bagi 2023 pula, pelancong domestik menyumbang 53.0 peratus (2019: 49.4 peratus) berbanding pelancong antarabangsa (47.0 peratus) di mana 21.7 peratus adalah bukan ASEAN dan 25.3 peratus ASEAN.
“Malaysia mencatatkan 81.8 juta pergerakan penumpang lapangan terbang melalui lapangan terbang tempatan dengan pada 23 Disember, secara keseluruhan pergerakan penumpang merekodkan pada 77.7 peratus daripada paras Disember 19.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pergerakan penumpang lapangan terbang akan bertambah baik dan mencapai tahap 2019 menjelang separuh kedua 2024,” katanya.