12 FEB : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau tidak pernah dihubungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi membincangkan soal pencalonan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan UNESCO.
Beliau juga menegaskan tidak tahu siapa pemimpin UMNO yang dihubungi Naib Pengerusi DAP itu berhubung perkara itu seperti didakwa.
“Beliau (Kor Ming) tidak pernah menghubungi saya, mungkin pemimpin lain saya tidak tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Kunjungan Kasih Sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang, di Bagan Datuk pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO tetap berpendirian menolak keras cadangan Kor Ming itu.
“Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah mengeluarkan kenyataan dan itulah pendirian rasmi dari UMNO,” katanya.
Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata beliau sudah menghubungi pemimpin UMNO bagi mengatur pertemuan untuk menjelaskan cadangannya berkaitan pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Cadangan Kor Ming baru-baru ini untuk menjadikan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dikritik pelbagai pihak.
Cadangannya itu kononnya bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan tersebut yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.
Pada Jun tahun lalu, Kor Ming juga mencalonkan tujuh kampung baharu di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.