13 FEB : Mayat dua mangsa yang merupakan juruterbang dan pembantu juruterbang terlibat nahas pesawat ringan di Kampung Tok Muda, Kapar di Klang ditemui terbenam dalam tanah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa ditemui pada bahagian kokpit pesawat yang tertimbus sedalam dua meter di lokasi pesawat terhempas.
“Kedua-dua individu ini merupakan lelaki warga tempatan berumur 30-an dan 40-an.
“Usaha mengeluarkan mayat dua mangsa ini sedang giat dijalankan dan dianggarkan mengambil masa kira-kira tiga jam.
Keadaan mayat itu bagaimanapun belum dikenal pasti namun dipercayai masih sempurna atau ‘intact’.
“Mayat dua mangsa ini akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi bedah siasat,” katanya pada sidang media di lokasi nahas, hari ini.
Menurutnya pesawat terbabit merupakan jenis pesawat ringan milik sebuah syarikat penerbangan rekreasi yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di kawasan kelapa sawit tersebut.
“Semakan mendapati panggilan terakhir pesawat kira-kira jam 1.35 petang, pihak berkuasa menerima maklumat berkaitan kejadian jam 1.45 petang.
“Hampir 45 peratus bahagian badan pesawat ini terbenam dalam tanah dan kita mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa.
“Kita menggunakan bantuan jengkaut pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan,” katanya
Jelasnya, iasatan berkaitan nahas itu dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut kertas inkuari polis dan kematian mengejut (SDR).
“Insiden ini bagaimanapun tidak melibatkan orang awam lain atau penduduk berhampiran lokasi kejadian,” katanya.
Tengah hari tadi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan sebuah pesawat ringan terhempas dan terbakar di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Muda, Kapar di Klang.