13 FEB : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan meluangkan masa menikmati santapan minum petang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara.
Seri Paduka Baginda terdahulu berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Negara, hari ini.
Menurut hantaran di Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda kemudian memandu sendiri dari Istana Negara bersama Perdana Menteri ke Restoran Paul di Pavilion Kuala Lumpur.
Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka Baginda bersama Anwar meluangkan masa menyaksikan persembahan tarian singa.
Sementara itu, Anwar dalam hantaran di Facebook memaklumkan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara itu adalah bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet. – Bernama
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar