14 FEB : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Ia ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, Sultan Ibrahim turut memperkenan lantikan tujuh pesuruhjaya RCI yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Zainun Ali yang bertindak sebagai timbalan.
Turut dilantik sebagai ahli ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; bekas Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Pentadbiran, Profesor Datin Dr Faridah Jalil.
Jawatankuasa itu turut disertai Pegawai Kewangan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah sebagai ahli.
“Ketua Pengarah BHEUU, Zamri Misman juga diperkenan Sultan Ibrahim sebagai Setiausaha RCI,” kata BHEUU dalam satu kenyataan, hari ini.
Mac tahun lalu, Sultan Ibrahim yang ketika itu Sultan Johor menzahirkan rasa murka dengan tindakan pentadbiran kerajaan terdahulu yang membuat keputusan berhubung isu tuntutan Batu Puteh tanpa merujuk baginda sehingga kawasan itu kini menjadi milik Singapura.
Batu Puteh ialah sebuah batu tunggal kira-kira 7.7 batu nautika (14km), selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44km) timur Singapura.
Ia kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003.
ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura.
*Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar