14 FEB : Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang akan diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac ini bakal menumpu pada usaha memperkasa agensi Bumiputera.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata KEB juga bakal menetapkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan ekonomi golongan itu.
“Kita juga mahu melihat peranan yang diberikan oleh agensi itu perlu dinilai keberkesanannya.
“Pemerkasaan dijalankan daripada dapatan kajian setiap kluster, yang terkait daripada 10 bintang (kluster) yang akan dirumuskan hasil libat urus yang telah diadakan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Prapelancaran Kongres Ekonomi Bumiputera di Dewan Putra, Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal menumpu kepada 10 kluster utama termasuk reformasi pendidikan dan modal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak serta penguasaan teknologi baharu.
“KEB 2024 akan gali beberapa aspek teknologi baharu, dan juga peluang-peluang baharu dalam bidang yang belum terjangkau dari negara ini.
“Kami (kerajaan) akan melihat unjurannya untuk 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.
Kongres itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang bakal menghimpunkan semua dewan perniagaan Bumiputera termasuklah Melayu-Malaysia, Kadazan-Dusun, Iban dan Dayak dari Sarawak dan juga Orang Asli.
Pada KEB kali ini juga, pengerusi setiap kluster akan mengemukakan resolusi menangani isu ekonomi Bumiputera.