16 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha memerangi rasuah yang giat dilaksanakan bukan kerana dendam lama.
Namun katanya, beliau mahu membebaskan negara daripada gejala rasuah tanpa mengira pangkat dan peringkat umur.
Justeru itu katanya, pihak terlibat tidak perlu takut untuk bertindak terhadap sesiapa yang terlibat rasuah.
“Kalau orang itu (amalkan) rasuah, dia patut bimbang…kalau tak rasuah dia tak perlu takut. Ini orang yang rasuah berpuluh billion tak berani sentuh, kalau polis sarjan kena (terima rasuah) kes RM200 orang marah habis. Saya tak kata betul (terima rasuah), kalau salah… (tetap) salahlah.
“Tapi orang yang ambil RM10 billion tak berani sentuh, sebab ada kuasa tak berani sentuh. Ada ahli Parlimen sokong lagi, (dakwa) menganiaya, kesian kat dia…dia orang tua. Jadi kalau orang tua rompak boleh? Kalau orang tua rogol boleh? Ini hang (kamu) belajar dari mana?
“Ini kata dendam, kes lama. Kalau ambil RM200 saya maafkan, tapi kes lama ambil RM20 billion, itu bukan duit aku (atau) duit hang tapi itu duit rakyat!” tegas Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jualan Termurah Madani – Barangan Basah dan Kering di Lembah Makanan, Bandar Perda di Seberang Jaya, hari ini.
Menurut Anwar, beliau tidak akan bertolak ansur dengan ‘perompak-perompak’ besar di negara ini.
“Saya tidak mahu bertolak ansur…makilah berbakul, seranglah macam mana pun saya tidak akan bertolak ansur untuk bersihkan negara ini daripada perompak-perompak besar.
“Saya sudah beritahu hang Datuk Seri ka, Tan Sri ka, hang Tun ka, hang baik kita salute (hormat), hang rompak kita tangkap, sumbat dalam penjara. Bilik saya di Sungai Buloh masih ada, (masih) kosong,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim