16 FEB : Kawasan kecil perkhemahan sementara yang terakhir berhampiran sempadan Mesir menjadi tempat berlindung ratusan ribu pelarian Palestin selepas tentera Israel memulakan operasi darat di Rafah.
Britain, Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan New Zealand mengulangi amaran kepada Israel agar tidak melancar serangan darat di bandar itu selagi keselamatan warga Palestin tidak terjamin.
Di Kaherah, usaha ke arah gencatan senjata memasuki hari ketiga dengan AS, Qatar dan Mesir sebagai orang tengah yang terus cuba menjadi perantara perjanjian.
Kelmarkn, Pengarah Agensi Perisikan pusat (CIA), Bill Burns membuat lawatan mengejut ke Israel bagi berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Ketua Agensi Perisikan Mossad Israel, David Barnea.
Barnea mengadakan perbincangan dengan Burns, wakil Mesir dan Qatar di Kaherah pada Selasa, sebelum delegasi Hamas membuat lawatan sehari kemudian.
Pejabat Netanyahu berkata, pihaknya tidak menerima ‘apa-apa cadangan baharu’ daripada Hamas mengenai pembebasan tebusan dan media Israel melaporkan delegasi negara itu tidak akan kembali ke meja rundingan sehingga Hamas sedia ke arah itu.
Kira-kira 130 tebusan masih dipercayai berada di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel.
Menurut statistik AFP, berdasarkan data rasmi Israel serangan itu mengakibatkan kira-kira 1,160 orang maut.
Serangan balas Israel di gaza pula mengorbankan sekurang-kurangnya 28,663 mangsa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, berdasarkan data kementerian Kesihatan Palestin.
Puluhan daripada anggaran 250 tebusan Israel yang ditahan semasa serangan itu dibebaskan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin ketika gencatan senjata selama seminggu pada November.
Israel berkata 29 daripada tebusan yang masih berada di Gaza dianggap telah mati.
*Foto : Reuters