17 FEB : Kerajaan belum membincangkan secara terperinci berkenaan subsidi barangan tertentu yang turut dinikmati warga asing dalam mesyuarat jemaah menteri.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, meskipun perkara itu ada disebut di luar Kabinet, namun ia belum dibawa ke peringkat jemaah menteri.
“Dalam sebarang perkiraan, semestinya kerajaan akan meneliti secara keseluruhan agar manfaat program subsidi ini ditujukan kepada kumpulan yang paling memerlukan, dan kita utamakan semestinya rakyat Malaysia.
“Namun waktu ini Kabinet belum membincangkan perkara ini secara khusus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Politeknik Seberang Perai pada Jumaat.
Fahmi berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan membincangkan mengenai sebarang subsidi barangan yang turut dinikmati warga asing.
Sementara itu berkenaan laporan media berkaitan seniwati Datuk Sarimah Ahmad, 82, yang memohon seorang penerbit terkenal mengembalikan semula pita asal empat filem hasil karyanya yang diambil sejak 36 tahun lalu sebelum penerbit itu meninggal dunia, Fahmi berkata beliau akan meneliti perkara itu dan akan berhubung dengan pelakon berkenaan dalam masa terdekat.
“Dalam kes seperti Datuk Sarimah, oleh kerana ia adalah satu perkara yang khusus di antara dua pihak, jadi saya perlu pemahaman dalam kes ini dengan lebih terperinci, dan insya-ALLAH kita akan cuba lihat apa yang boleh kita lakukan untuk bantu beliau,” katanya