19 FEB : Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji pelaksanaan memanjangkan tempoh sah laku pasport Malaysia antarabangsa (PMA) kepada 10 tahun berbanding lima tahun.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia susulan kebanyakan negara ASEAN termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura yang sudah berbuat demikian.
“Jabatan Imigresen dalam proses untuk melakukan satu kajian untuk memperkenalkan pasport dengan tempoh sah laku selama 10 tahun.
“Pasport kita sekarang (tempoh sah laku selama) lima tahun, sama ada kita nak kekal lima atau menuju 10 tahun, kita akan melakukan satu fasa kajian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, kajian itu dibuat dalam tempoh yang munasabah sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Kajian ini dalam tempoh munasabah, ia akan ada keputusan dasar, tetapi kita mulakan dahulu dengan aspek kajian sebelum kita peroleh keputusan dasar
“Kita ambil kita semua perkara, maklum balas orang awam dan pemegang taruh,” katanya.
Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengesyorkan tempoh sah laku PMA ditambah daripada lima kepada 10 tahun dengan kadar bayaran sewajarnya.