20 FEB : Kerajaan Madani akan terus mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk Perkara 153 yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“Kita pertahankan kedudukan Perlembagaan termasuk Perkara 153,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15 di Sasana Kijang, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa agar Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang bakal berlangsung hujung bulan ini meneliti kedudukan istimewa Bumiputera yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar memberi manfaat kepada golongan itu.
Katanya, persoalan bumiputera terus ketinggalan dalam bidang ekonomi walaupun pelbagai dasar sebelum ini digubal untuk membantu mereka perlu dibangkitkan secara jujur.
“Kita ingin tahu juga mengapa ekonomi bukan bumiputera boleh maju sedangkan kita tidak dengar wujudnya kongres ekonomi bukan bumiputera. Kita pun tidak nampak adanya agenda ekonomi bukan bumiputera dalam belanjawan negara.
“Malah tidak ada dasar ‘affirmative action’ seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk rakyat bukan bumiputera. Malahan usahawan bukan bumiputera sering terpaksa bersaing dengan syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan),” kata Ahli Parlimen PKR itu dalam kenyataan.
KEB 2024 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 29 Februari hingga 2 Mac ini untuk memperkasa ekonomi Bumiputera dalam soal teknologi baharu dan pelan futuristik bagi generasi akan datang.