21 FEB : Tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang tersenarai dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat disahkan tidak mempunyai sebarang rekod aktiviti keganasan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu pada sidang media, hari ini.
“Berdasarkan semakan, rekod bersih,” katanya.
Terdahulu, tular surat yang mendedahkan tiga nama pemimpin NGO disenaraikan di bawah TSC FBI.
Katanya, kesemua 359 individu dan 53 NGO yang terlibat dalam Ops Ihsan sudah menjalani tapisan sebelum operasi bermula.
“Kita sedia maklum terdapat Ops Ihsan iaitu operasi kemanusiaan untuk membantu penduduk Gaza yang merupakan inisiatif kerajaan didokong penglibatan NGO.
“Sebelum Ops Ihsan dimulakan, semakan telah dibuat dan rekod keselamatan polis mendapati tiada penglibatan aktiviti keganasan,” katanya.
Ops Ihsan merupakan antara usaha Kementerian Luar bagi menggerakkan bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Jata Saifuddin, satu laporan polis dibuat koordinator Ops Ihsan berhubung penularan surat yang mendedahkan nama tiga pemimpin NGO berkenaan.
“Saya kena tegaskan adalah penting bagi kita sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat dan mempunyai agensi keselamatan yang kompeten dalam membuat tapisan keselamatan,” katanya.
Menurut Saifuddin, tindakan FBI itu terkait Rang Undang-undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas yang sedang dirangka Amerika Syarikat (AS).
“Latar belakangnya AS dalam proses mengadakan RUU Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf RUU itu yang memperlihatkan unsur ugutan kepada pihak ingin membantu rakyat Palestin.