22 FEB : Kerajaan Indonesia mengesahkan 71 petugas meninggal dunia setakat ini akibat keletihan melampau pada pilihan raya di republik itu, minggu lalu.
Memetik laporan Agensi, pengerusi badan pilihan raya Indonesia, Hasyim Asy’ari berkata sekitar 4,000 orang lagi jatuh sakit dalam tempoh lima hari akibat keletihan selepas bertugas mengendalikan pilihan raya sehari terbesar di dunia itu.
Pilihan raya itu masih meragut puluhan nyawa, meski pemerintah republik itu menetapkan had umur sukarelawan dan mewajibkan pemeriksaan kesihatan susulan lebih 500 pekerja pusat mengundi meninggal dunia ketika pilihan raya 2019.
Dalam pengundian yang berlangsung 14 Februari lalu, seramai 5 juta orang dibayar untuk bekerja di 800,000 pusat mengundi di serata Indonesia dengan lebih 200 juta orang didaftarkan untuk membuang undi.
Berdasarkan pengiraan pantas, Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan pasangannya, Gibran Rakabuming Raka dilaporkan menang dengan meraih 59.17 peratus undi.
Namun keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada 20 Mac.