22 FEB : Jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2023 adalah 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya sekali gus tertinggi dalam sejarah negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan asing merupakan penyumbang utama sebanyak 57.2 peratus berbanding domestik iaitu 42 peratus.
Katanya, prestasi yang amat memberangsangkan itu mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani.
“Prestasi cemerlang terbabit disokong oleh peningkatan 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan 15.3 peratus untuk pelaburan asing.
“Secara tidak langsung, ini satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan (pro-investment) dan mesra perniagaan (pro-business) yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government) mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur.
“Jumlah tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat serta negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, rekod pelaburan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) bilangan dua tahun 2024, hari ini.
Menurut Anwar, sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang 51.1 peratus iaitu RM168.4 bilion diikuti sektor perkilangan, 46.1 peratus bersamaan RM152 bilion dan sektor utama 2.8 peratus berjumlah RM9.1 bilion.
Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju pelaburan digital negara selaras dengan perkembangan ekonominya yang semakin pesat dan merupakan antara sektor terpenting dalam memperkukuhkan agenda berkenaan.
Anwar berkata, ekonomi digital di negara ini menyumbang 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.
Tambahnya, 396 projek berkaitan digital bagi tempoh 2021 hingga 2023 diluluskan dengan nilai pelaburan RM128.9 bilion yang merangkumi projek melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (National Committee on Investments – NCI).
“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan, antara yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan (AI).
“Kehadiran syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa negara mempunyai tarikan serta ekosistem pelaburan digital yang kondusif.
“Justeru, kerajaan perlu memudah cara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara,” katanya.