Mawla Amin: Menteri pesan jangan taasub
22 FEB : Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengingatkan orang ramai agar menjauhi sikap taasub yang berbahaya kepada diri dan masyarakat.
Menterinya, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata sikap itu akan menyebabkan individu tersebut mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu.
“JPM Hal Ehwal Agama tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan tertentu.
“Ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat. Sikap taksub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu dilaporkan PDRM memantau kegiatan seorang warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Amin’ dan mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.
Seorang mudir sebuah madrasah di Selangor dikatakan turut aktif mempromosi dan mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan yang dinyatakan dalam akhbar tersebut.
“Semua pihak adalah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan apa-apa urusan berkaitan pentauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam,” katanya
Mohd Na’im turut menyeru semua pihak agar sentiasa berpegang kepada neraca ilmu dan fakta.