Timbalan menteri perlu kuasai kerangka pemikiran, dasar Madani
22 FEB : Semua timbalan menteri perlu menguasai kerangka pemikiran dan dasar-dasar di bawah gagasan Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anggota pentadbiran itu perlu bergerak di luar kerangka pendekatan lampau yang hanya menumpu kepada urusan kementerian sendiri semata-mata.
“Sebaliknya semua jentera kementerian dan agensi perlu menyokong antara sama lain dengan membantu memberi penjelasan kepada rakyat terhadap apa jua isu berbangkit, sekali gus bertindak sebagai satu pasukan dengan semangat perpaduan yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau hadir ke Pemukiman Timbalan-Timbalan Menteri di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Kuala Lumpur.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau menyambut baik pandangan dan cadangan disuarakan beberapa timbalan menteri yang berkobar-kobar mahu memastikan kebajikan rakyat terbela dan negara dilimpahi kemakmuran.
“Saya punya harapan besar untuk melihat siri-siri pemukiman membabitkan pimpinan tertinggi kerajaan ini akan mencetus perubahan terhadap gerak kerja Kerajaan Madani yang lebih berkesan dalam usaha mengangkat negara ini ke tingkat tertinggi,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim