23 FEB : Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dicadang boleh memilih membuat pengeluaran penuh atau sebahagian simpanan mereka setelah bersara kelak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata baki wang yang tinggal dalam akaun KWSP boleh dikeluarkan secara bulanan di mana pencarum masih boleh menikmati dividen.
“Saya ingin buat satu cadangan di sini, ia agak pelik tetapi boleh dilakukan. Sebanyak 15.5 juta rakyat ada KWSP, lapan juta daripadanya adalah mereka yang aktif dan daripada lapan juta itu kita boleh aturkan pencen untuk golongan berkenaan.
“Mereka boleh membuat pilihan apabila berumur 55 atau 60 tahun iaitu hanya mengeluarkan sebahagian daripada KWSP. Katalah ambil satu per empat dan tiga per empat lagi dibahagikan tiap-tiap bulan,” katanya, lapor UMNO Online.
Katanya, baki tiga per empat itu masih lagi boleh menerima dividen KWSP yang mana purata bonus tahunannya antara lima hingga enam peratus setahun.
“Namun jika mereka keluarkan sekali gus selepas bersara, mereka tidak akan mendapat dividen berkenaan dan ini antara cadangan yang sebenarnya KWSP belum diumum serta dilancarkan lagi.
“Walaupun dah ada tetapi belum menjadi satu dasar kerajaan dan saya mencadangkan ini menjadi dasar kerajaan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.