23 FEB : Kerajaan Perpaduan Selangor diingatkan agar tidak mengambil mudah usaha PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Mohd Yahya Mat Sahri berkata pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor perlu meningkatkan kerjasama bagi mematahkan naratif lawan membuat persepsi negatif yang dapat mempengaruhi pengundi.
“PH dan BN dalam Kerajaan Perpaduan perlu duduk bersama menjiwai perpaduan sebelum pilihan raya, keserasian kerjasama itu perlu digerakkan daripada kepimpinan negeri, Parlimen, DUN dan kampung.
“Sekiranya usaha ini berjaya, sudah tentulah ia akan memberi kekuatan kepada Kerajaan Perpaduan mempertahankan Selangor,” katanya, lapor FMT.
Kata Yahya, sebagai parti pemerintah di Selangor, PH dan BN perlu menunaikan semua janjinya yang pada akhirnya akan dinilai rakyat yang bakal memilih pada PRU16 kelak.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, parti itu berharap slogan ‘PAS for All’ yang dibawanya dua dekad lalu akan membantu merampas negeri itu daripada gabungan PH-BN.
Namun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menepis cita-cita PAS itu sambil mengingatkan BN juga gagal dalam cubaan itu.
Namun Yahya yang juga Setiausaha Pengelola PKR Selangor berkata mana-mana parti berhak memasang cita-cita.
“Cuma pada pandangan saya, PAS kena lihat dan pengundi juga kena lihat dari sudut perbandingan cara pengurusan ditunjukkan kerajaan perpaduan Selangor di bawah kepimpinan Amirudin dan negeri ditadbir PAS, termasuk dari segi ekonomi dan perniagaan, mana lebih baik,” katanya.
Pada PRN Ogos lalu, PN memenangi menang 22 DUN, sekali gus menafikan majoriti dua pertiga PH dan BN yang menguasai 34 daripada 56 kerusi.