24 FEB : Takrifan kategori pendapatan sedia ada tidak menggambarkan cabaran dan kekangan dihadapi rakyat semasa.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kategori pendapatan B40, M40 dan T20 itu kini menimbulkan persoalan sama ada masih relevan atau tidak.
“Di bawah pentakrifan kategori pendapatan sedia ada, mereka yang berpendapatan antara RM5,000 dan RM10,000 dikategorikan sebagai individu dalam kategori M40. Bagaimanapun perkara itu tidak menggambarkan realiti situasi terkini.
“Sebagai contoh, jika seseorang yang merupakan pencari nafkah tunggal (untuk keluarganya) berpendapatan RM5,000 dengan tiga orang anak tinggal di kawasan bandar, orang itu sebenarnya tergolong dalam kategori B40 kerana jumlah yang terhad atau mempunyai komitmen yang banyak.
“Perkara itu menimbulkan persoalan sama ada istilah sekarang (kategori sedia ada) masih relevan atau sebaliknya disebabkan kekangan dalam pendapatan boleh guna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, hari ini.
Simposium berkenaan diadakan sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 29 Februari hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya.
Sebelum ini, Asyraf berkata peningkatan kos sara hidup dan perbezaan kehidupan antara kawasan bandar dengan luar bandar mewajarkan langkah untuk mentakrifkan semula kategori B40, M40 dan T20.
Katanya, takrifan baharu terhadap kumpulan itu akan dimulakan di MARA terlebih dulu bagi memastikan masyarakat mendapat pembelaan yang adil.
“Realitinya dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dan perbezaan hambatan dan cabaran kehidupan di bandar dan luar bandar memerlukan satu kaedah yang lebih holistik, adil dan saksama dengan mengambil kira pendapatan boleh guna bersih keluarga,” katanya.