Saranan hidupkan semula Muafakat Nasional tidak ikhlas : Zahid
26 FEB : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan saranan PAS supaya kerjasama antara kedua-dua parti melalui Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula sebagai tidak ikhlas.
“Kami tidak fikir mereka ikhlas dalam buat tawaran itu kerana yang keluar dari MN bukan UMNO tetapi mereka. Mereka menikam kami dari belakang, mereka lakukan kerenah melebihi daripada apa yang kita setujukan.
“Saya tidak rasa mereka ikhlas dalam buat tawaran itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penggerak Wanita RISDA (Pewaris) pada Ahad, lapor Bernama.
Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata beliau yakin kerjasama antara parti itu dan UMNO masih boleh dihidupkan kembali melalui MN.
Untuk rekod, MN adalah kerjasama yang dibentuk pada 14 September 2019 susulan Himpunan Penyatuan Ummah.