27 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Anwar selaku Ketua Majlis Parlimen ke-15 dalam Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia di Dewan Rakyat menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan daripada pemerintahan seorang Raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata serta negara.
“Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya amat berkeyakinan dengan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan,” katanya, lapor Bernama.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan ucapan itu oleh Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(j) Dewan Rakyat.
Dalam ucapan itu, Anwar turut merafak sembah ucapan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan Dewan Rakyat kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun lepas dengan adil dan bijaksana.
“Saya yakin seluruh rakyat jelata merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Tuanku dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya.
Perdana menteri turut mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terus dilimpahi dengan segala kehormatan serta kebesaran dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.