28 FEB : Kerajaan Perpaduan terbuka kepada sebarang rekomendasi atau saranan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) khususnya dalam penambahbaikan proses pilihan raya dan reformasi institusi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa saranan gabungan itu menjadi perhatiannya.
Malah katanya, terdapat antara cadangan dalam memorandum yang diterimanya hari ini sudah pun berada dalam pertimbangan dan tindakan Kerajaan Perpaduan.
“Dialog serta ruang bertukar pandangan seperti ini penting bagi memahami aspirasi masyarakat sivil serta cabaran yang dihadapi oleh kerajaan khususnya dalam isu yang dikemukakan dalam memorandum ini.
“Pendekatan yang lebih inklusif dalam mendengar sendiri pandangan masyarakat sivil seperti BERSIH diharap dalam meningkatkan lagi sinergi masyarakat sivil dengan kerajaan dalam proses demokrasi negara,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menerima memorandum daripada Pengerusi BERSIH, Mohammad Faisal Abdul Aziz di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Dalam pertemuan itu juga, Anwar memaklumkan beliau sempat menekankan kepentingan mengukuhkan pendidikan politik dan meningkatkan literasi politik dalam kalangan masyarakat ke arah politik Malaysia yang lebih baik.
Semalam, BERSIH menyerahkan memorandum berhubung tiga tuntutan ‘Reformasi 100 peratus’ kepada enam ahli Parlimen iaitu empat ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) – William Leong (Selayang); Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang); Dr Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang).
BERSIH turut menyerahkan memorandum itu kepada dua Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).
Dalam pada itu, BERSIH memaklumkan pihaknya berbesar hati diberi peluang bertemu dan menyerahkan sendiri memorandum itu kepada Anwar.
“Anwar adalah Perdana Menteri pertama yang berjumpa dengan pimpinan BERSIH untuk membolehkan perbincangan dibuat bersama mengenai usaha melunaskan agenda Reformasi.
“Perbincangan mengenai isi kandungan memorandum itu berjalan selama lebih satu jam yang mana memorandum ini merujuk kepada perkembangan mutakhir khususnya membabitkan penambahbaikan sistem tadbir urus negara yang masih perlahan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, BERSIH menyerahkan memorandum setebal hampir 30 muka surat dan 10 lampiran kertas kajian terperinci berkenaan cadangan hasil libat urus dan kajian dari tahun 2018 bagi memperkukuh transisi demokrasi di Malaysia.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim