29 FEB : Dua Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sedia mengosongkan kerusi jika pindaan Perlembagaan parti itu kelak melarang mereka memberi sokongan kepada pihak ketiga.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata semuanya tertakluk pada pindaan Perlembagaan Bersatu, Sabtu ini.
“Sokongan kepada Anwar dimuktamadkan selepas setahun kami berada di pihak pembangkang (tetapi) tiada apa-apa perkara yang boleh memanfaatkan rakyat di kawasan kami.
“Daripada kami tarik balik sokongan (kepada Anwar) dan kembali menyokong (pihak) asal (Bersatu) yang tak boleh buat apa-apa, kami rela rakyat yang buat keputusan (melalui pilihan raya).
“Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi sekiranya ia kenyataan yang perlu diterima,” kata mereka pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilapor berkata Perlembagaan parti akan dipinda bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat.
Dalam pada itu, Syed Abu Hassan dan Mohd Azizi menyifatkan Bersatu meminda Perlembagaan parti susulan bimbang ada lagi wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan kepada Anwar.
“Parti membuat keputusan meminda Perlembagaan untuk mengelak dan melarang Ahli Parlimen Bersatu menyokong pihak berbeza selain ditetapkan parti, menyebabkan kelayakan mereka gugur secara automatik.
“Bagi kami yang sudah memberi sokongan, kita akan tengok dulu pindaan berkenaan dan kalau dibawa ke mahkamah, kita akan ‘challenge’ (cabar),” katanya.
Selain Syed Abu Hussin dan Mohd Azizi, empat lagi Ahli Parlimen Bersatu yangturut menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang); Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan)
Dalam sidang media sama, keduanya menegaska. sokongan diberi kepada perdana menteri itu tidak melibatkan sebarang pujukan, rayuan mahu pun habuan seperti didakwa.
“Janganlah cuba mewujudkan suasana tak stabil, sama ada dari segi politik, tuduhan dan sebagainya. Jangan guna Parlimen sebagai tempat untuk melangsungkan politik tanpa asas.
“Parlimen tempat kita berbincang untuk membantu membangunkan negara dalam ketidaktentuan global ketika ini.
“Kita hormati kenyataan sesiapa sahaja, cuma tuduhan dilemparkan di Parlimen adalah tak benar, fitnah semata-mata kerana sokongan kepada Anwar adalah ikhlas. Isu semalam yang dibawa (ke Parlimen) tak betul,” katanya.
Semalam, sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat menjadi kecoh selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa sudah berkali-kali didekati pihak tertentu yang menjanjikan habuan sekiranya beliau menyokong Anwar.