29 FEB : Malaysia menzahirkan kekesalan berhubung permohonan Palestin untuk menjadi negara pemerhati pada Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata (CD) bagi sesi 2024 dibantah beberapa delegasi.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin ketika menyampaikan kenyataan negara pada persidangan sesi 2024 di Geneva pada Rabu berkata, Malaysia berpendapat Palestin mempunyai hak yang sama untuk menyertai persidangan itu.
Beliau berkata Palestin merupakan negara pemerhati bukan anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan “state party” kepada perjanjian pelucutan senjata, iaitu Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear, Konvensyen Senjata Biologi dan Toksin, dan Konvensyen Senjata Kimia yang telah dirunding dan diterima pakai oleh CD.
“Malaysia menggariskan kepentingan prinsip keterangkuman dan multilateralisme dalam persidangan itu,” katanya, lapor Bernama.
Malaysia menggesa perluasan keanggotaan persidangan untuk penglibatan yang lebih luas dalam komuniti antarabangsa, katanya.
Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke Segmen Peringkat Tinggi Majlis Hak Asasi Manusia dan Segmen Peringkat Tinggi CD, dari 27 hingga 29 Februari di Geneva, Switzerland.
Di luar segmen, Mohamad bertemu Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, menurut Wisma Putra.
Kedua-dua pihak telah membincangkan mengenai pengukuhan kerjasama antara Malaysia dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) dalam pelbagai isu hak asasi manusia, termasuk kerjasama melalui pejabat serantaunya di Bangkok.
Timbalan menteri luar itu juga menyatakan Malaysia mengalu-alukan lawatan rasmi pertama pesuruhjaya tinggi ke Malaysia pada tahun ini.