1 MAC: Mana-mana pihak yang culas dalam membayar cukai bakal berdepan tindakan termasuk geledah oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 LHDN pada Jumaat.
Jelasnya, LHDN perlu tegas dan berani memburu pembayar cukai yang culas tanpa menggira kedudukan dan pangkat termasuk dalam kalangan ‘mahakaya’ atau syarikat-syarikat gergasi.
“Supaya jangan ada rasa kerana pengaruh dan kedudukan mereka terlepas membayar cukai kerana kita tidak boleh bagi gambaran yang atas paling mahakaya itu terselamat daripada tindakan.
“Mesti ada kesungguhan dan keberanian…saudara tidak kira kaitannya dengan kedudukan. Saya selalunya sebut, apakah dia Ahmad atau Ah Sin atau tan sri atau tun, saudara tidak kira. Saudara hanya kira dia bayar cukai atau tak. Kalau tak bayar geledah dan ambil tindakan, barulah hebat,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sekali lagi mengulangi pendirian agar negara mengutamakan tatakelola yang baik.
Tegasnya, negara perlu beralih daripada membenarkan ketirisan atau membiarkan pemimpin menggaut kekayaan yang bukan hak mereka.
Justeru beliau menyarankan agar semua jentera kerajaan dan penjawat awam bersama-sama menyelamatkan bangsa dan negara dengan menghentikan amalan tersebut.