1 MAC : Pemimpin politik di negara ini diingatkan agar tidak menunggang agama bagi mencapai cita-cita politik.
Perkara itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) susulan peringatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.
Namun kata Ahmad Zahid, peringatan disuarakannya itu bukan dituju kepada pembimpin tertentu sebaliknya turut terpakai kepada pemimpin UMNO.
“Saya tidak perlu nasihatkan mana-mana pemimpin parti ada latar belakang agama untuk mengikut landasan atau alasan itu tetapi jangan gunakan agama sebagai tunggangan mencapai hasrat politik.
“Saya menghargai titah tuanku ini sebagai amaran bukan untuk seseorang individu itu sahaja tetapi pemimpin parti termasuk UMNO supaya tidak melakukan perkara dan kesalahan sama,” katanya selepas merasmikan surau bergerak bas dua tingkat di Masjid Putra.
Semalam, Sultan Sharafuddin dilaporkan dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi dalam artikel bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’.
Baginda bertitah, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya menjurus kepada perpecahan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu.