1 MAC : Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) yang berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, potensi perniagaan serta pelaburan sedang dirangka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha itu bagi mencapai sasaran Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan.
NETR membuktikan keazaman kerajaan melaksanakan inisiatif peralihan tenaga daripada ekonomi berasaskan bahan api fosil tradisional kepada ekonomi hijau bernilai tinggi.
“Ia juga bagi memastikan transformasi ekonomi lestari ini berupaya menjana sumber pertumbuhan baharu, mewujudkan peluang perniagaan dan potensi perdagangan,” katanya ketika berucap pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata sasaran peralihan tenaga dapat direalisasikan secara menyeluruh mengikut pertimbangan teliti faktor keupayaan.
“Ini termasuk sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna.
“Ini juga dicapai melalui pelaksanaan beberapa inisiatif seperti pembangunan loji jana kuasa solar bagi meningkatkan pembekalan tenaga elektrik hijau pada kos berpatutan,” katanya .
KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok turut melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) 10 kumpulan termasuk Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama dan Pengukuhan Industri Halal.