1 MAC : Pemuda UMNO menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang terbabit mengiktiraf ‘bak kut teh’ sebagai hidangan warisan negara serta beberapa isu lain.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata tindakan terkini King Sing dilihat seolah tidak tahu menjaga sensitiviti rakyat negara ini yang majoritinya beragama Islam.
“Ini bukan soal ada sembilan lagi makanan lain juga dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara, tetapi ini adalah soal apakah relevannya memasukkan makanan mempunyai unsur asas babi yang kita tahu sangat sensitif kepada penduduk Islam yang juga majoriti penduduk negara ini dalam senarai makanan warisan negara?
“Apakah kamu tahu, senarai yang dimasukkan di dalam warta itu adalah ‘bak kut teh’ bukannya seafood kut teh atau ayam kut teh. Bak itu bermaksud daging yang secara khususnya merujuk daging babi di dalam sebutan Hokkien.
“Memang ‘bak kut teh’ boleh ditukar menjadi daging yang halal mengikut kamu, tetapi adakah kamu tahu berapa banyak bak kut teh yang dikatakan halal dan dijual di pasaran.
“Jawapannya hampir semua ‘bak kut teh’ yang dijual adalah tidak halal serta mempunyai unsur daging babi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, King Sing dilaporkan membidas Akmal yang menggesa Anwar memecat dirinya selepas terbabit dalam beberapa isu kontroversi baru-baru ini.
Malah beliau mengingatkan Akmal agar tidak menjadi pembangkang atau kumpulan ekstremis dan disaran merujuk kamus jika tidak pasti mengenai definisi perkataan ‘bak kut teh’
Akmal membangkitkan isu ‘bak kut teh’ yang dimasukkan dalam senarai warisan negara penurunan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar kepada Timbalan Ketua Pengarah.
Sebelum ini juga King Sing pernah tular susulan insiden di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana menceroboh masuk berkait seorang wanita warga China.
Sementar aitu dalam kenyataan sama, Akmal yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu mempertikai tuduhan King Sing yang melabel beliau ekstremis.
“Adakah kamu memberi maksud apabila kami bercakap mengenai perkara yang sensitif di hati orang Melayu khususnya, maka kami dikatakan ekstremis?
“Jika begitu yang ekstremis adalah orang seperti kamu yang tidak tahu menjaga sensitiviti majoriti rakyat beragama Islam di negara ini.
“Kami (Pemuda UMNO) tetap kekal dengan pendirian kami supaya perdana menteri memecat orang seperti ini di dalam barisan Kabinet Malaysia,” katanya.