2 MAC : Ahli Parlimen Bersatu kawasan Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan enggan mengosongkan kerusinya susulan pindaan Perlembagaan partinya hari ini.
Beliau yang mengisytiharkan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pindaan itu sebagai tidak jelas.
Memetik laporan FMT, Syed Abu Hussin memaklumkan mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat.
Pada masa sama, beliau turut menyeru mana-mana Ahli Parlimen Bersatu yang ingin menyatakan sokongan kepada perdana menteri Anwar Ibrahim agar meneruskan niat itu.
“Sebab setakat pindaan (diluluskan), dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak putuskan lagi, ia tidak akan jadi peraturan.
“Masih ada tanda soal, belum jelas lagi. Kita biarkan proses berjalan,” katanya.
Terdahulu, Bersatu dilaporkan meluluskan pindaan Perlembagaan yang melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyat yang menyokong mana-mana perkara bertentangan dengan keputusan parti.
Pindaan itu susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengalih sokongan kepada Anwar tahun lepas selari dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti.
Selain Syed Abu Hussin, lima ahli Parlimen lain yang mengisytihar sokongan kepada Anwar ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata beliau akan menyerahkan kepada mahkamah berkait tindakan lanjut susulaan pindaan itu.
“Mahkamah tempat terakhir untuk kita buat keputusan. Tafsiran di mahkamah (belum tahu) macam mana,” katanya.
Pada masa sama, Syed Abu Hussin menegaskan beliau tidak akan sesekali menarik sokongan kepada Anwar meski Perlembagaan Bersatu dipinda itu diluluskan oleh RoS.
Sementara itu, Suhaili dan Zulkafperi juga bertegas tidak akan mengosongkan kerusi sehingga mahkamah membuat keputusan.
Menurut Suhaili, beliau tidak akan menarik balik sokongan kepada Anwar dan yakin pengundinya di Labuan mendukung keputusan menyokong Anwar kerana mendapat manfaat daripadanya.
“Saya tidak akan tarik balik sokongan kepada perdana menteri. Penduduk di kawasan saya tidak berontak saya sokong perdana menteri,” katanya.