4 MAC : Kerajaan menegaskan inisiatif Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) yang membolehkan tahanan banduan di rumah tiada kaitan dengan usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan itu adalah usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di 43 penjara seluruh negara.
Beliau melihat dakwaan itu sekadar naratif nakal yang dimainkan pihak media.
“Saya hendak sanggah naratif nakal yang dimainkan segelintir media kononnya hendak meletakkan Najib di bawah tahanan di rumah.
“Punyalah nakal sampai tidak boleh tengok perspektif kurangkan kesesakan penjara khususnya untuk kategori tertentu. Ada panel menilainya bagi jenis kesalahan yang kami cadangkan, hanya mereka dijatuhkan hukuman penjara kurang empat tahun.
“Kalau dikenakan penjara sehingga 20 tahun, penjenayah tegar takkan senang-senang beri ‘home detention’, itu akan mengancam masyarakat. Jadi apabila kita umumkan, hati tidak jernih terus buat kesimpulan awal secara tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni penghuni Rumah Seri Kenangan pada Program Menyemai Kasih Rakyat di Ulu Kinta, hari ini.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata pelaksanaan inisiatif itu akan diteliti dengan melakukan semakan peruntukan undang-undang atau akta berkaitan digubal.
“Untuk kita laksanakannya ada keperluan semak undang-undang, akta, peraturan, apakah perlu kita buat akta baharu misalnya.
“Kalau itu tidak mencukupi melaksanakan tahanan dalam rumah kita perlu akta baru, barulah kita bincang dengan pihak berkaitan untuk gubal supaya pelaksanaannya mematuhi dari segi undang-undang sekali gus objektif mengurangkan kesesakan tercapai.
“Jadi, kita mahu semua masyarakat, aktivis dan ‘stakeholder’ bagi dukungan dengan hasrat kerajaan dalam melaksanakannya,” katanya lagi.